Monday, June 8, 2009

Guna khutbah kempen politik kepartian : Ditinjau dari pengamalan Nabi s.a.w, sahabat dan para ulama muktabar


Sumber: UMS


Sebelum buat sesuatu, kita tidak boleh hanya lihat apa yang kita hendak buat itu. Kita juga kena tengok kesannya bila ia dilaksanakan. Bila sesuatu itu baik, kita terus laksana. Tidak boleh begitu. Bila kita yakin ia tidak membawa kesan buruk, saat itu, barulah kita boleh laksanakannya. Ini kaedah yang dipakai Islam. Ia dinamakan sad al-zara'ik. Yakni menyekat jalan. Maksudnya, menyekat jalan yang boleh membawa kepada kemungkaran dan keburukan.

Sebab itulah, menjual pisau atau parang semasa perang saudara umpamanya, hukumnya haram. (Lihat al-Madkhal Ila Dirasah al-Syariah karangan Dr. Karim Zaidan dalam bab Sad al-Zara'ik). Sebab ia boleh menyebabkan kepada perkara haram. Iaitu berperang sesama saudara. Demikian juga menjual anggur kepada orang yang kita tahu dia pembuat arak. Hukumnya haram. Sebabnya, ia membawa kepada benda haram, iaitu membuat arak (hukum ini khusus bagi orang Islam sahaja)


Jadi, sebelum kita gunakan mimbar Jumaat untuk kempen politik kepartian, kita kena fikir kesannya. Katakanlah berkempen politik kepartian melalui khutbah ini memang bagus. Memang selaras dengan hukum. Katakanlah begitu. Meskipun begitu, kita tidak boleh terus berkempen melalui khutbah sehinggalah kita yakin ia tidak membawa kesan buruk kepada masyarakat.



Mari kita lihat pengamalan sahabat besar, Ibnu Mas'ud radiallahu 'anhu. Ibnu Mas'ud diminta rakan-rakannya agar memberi tazkirah kepada mereka lebih kerap daripada biasa. Ibnu Mas'ud r.a menolak dengan berkata bahawa beliau sengaja tidak memberi tazkirah secara kerap kerana mengikut cara Nabi s.a.w. Nabi tidak terlalu kerap memberi tazkirah kerana takut orang ramai bosan, kata Ibnu Mas'ud. Lafaz cerita ini penulis tidak ingat, tetapi maksudnya seperti yang dinyatakan. Boleh lihat dalam Usul al-Dakwah karangan Dr. Abdul Karim Zaidan.


Maknanya, manhaj Islam ialah mengelak daripada benda-benda yang membosankan orang ramai daripada mendengar pengajaran agama. Soalnya, kempen politik kepartian melalui khutbah, tidak membosankan kah? Atau lebih tepat, tidakkah menjadikan pendengar yang berlainan parti marah dan meluat? Seterusnya benci mendengar khutbah? Ini kena fikir....!


Nabi mengajar kita, fikir kesan sesuatu yang hendak kita buat. Jangan pulak, bila sesuatu itu baik, terus kita buat tanpa mengambil kira kesannya. Dalam sahih Bukhari, Nabi s.a.w berkata kepada Aishah r.a, maksudnya, sekiranya tidak kerana kaummu (yakni kaum Quraisy) baru memeluk Islam, nescaya baginda memerintahkan supaya diubah binaan kaa'bah seperti keadaannya yang asal.

Maknanya, Nabi tangguhkan dulu perkara baik yang hendak dibuat, kerana bimbang kesan buruk. Bimbang takut-takut orang Quraisy yang baru memeluk Islam itu salah sangka dan sebagainya jika Nabi ubah binaan kaa'bah kepada keadaan yang asal dan sepatutnya.


Begitu juga kes larangan menziarahi kubur pada peringkat awal Islam. Sebabnya Nabi bimbang, orang Arab yang asalnya menyembah berhala, kalau pergi ke kubur mereka akan memuliakan kubur atau sebagainya yang bercanggah dengan akidah Islam. Tetapi apabila mereka sudah lama memeluk Islam, barulah Nabi membenarkan amalan menziarahi kubur. Ini disebut dalam hadis sahih.


Manhaj Nabi s.a.w ini seterusnya diikuti oleh para sahabat. Contohnya Mu'az Ibn Jabal r.a. Pada saat hampir meninggal, barulah beliau meriwayatkan hadis berkenaan orang yang hidupnya diakhiri dengan kalimah La Ilaha llallah, akan masuk syurga. Beliau memendamkan hadis itu pada peringkat awal kerana bimbang ia disalah faham oleh umat Islam. Bila dengar setiap orang yang mengucap sebelum mati akan masuk syurga, nanti umat Islam akan pandang ringan soal ibadat, culas mengerjakan suruhan Allah. Ini yang Mu'az bimbang. Jadi masa hendak mati baru beliau sebutkan hadis ini kerana nak menunaikan tanggungjawab menyebarkan ilmu.

Ulama-ulama muktabar zaman ini juga begitu. Mereka fikir kesan sesuatu sebelum buat. Al-Allamah Syeikh Yusuf Qaradhawi mendedahkan bahawa beliau menyembunyikan fatwa keharusan berjabat tangan dengan bukan muhrim selama beberapa tahun.



Beliau juga menyebut bahawa ulama besar al-Azhar al-Marhum Imam Abu Zuhrah (meninggal sekitar 70 atau 80-an) menyembunyikan fatwa beliau bahawa hukuman rejam sampai mati ke atas penzina yang muhsin (yang sudah berkahwin) dimahsuhkan dengan ayat surah an-Nur yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas penzina. Beliau menyembunyikannya selama 20 tahun. Hanya didedahkannya pada tahun 1973 dalam satu seminar perundangan di Libya dihadapan para ulama terkemuka seperti Syeikh Mustaffa Zarqa'. Maklumat ini boleh didapati dalam islamonlinearabic.com.

Justeru, sebelum berkempen politik dalam khutbah, fikir lah dulu masak-masak. Ahli Jumaat bukannya semua penyokong parti kita. Jadi bayangkanlah kesannya.

No comments:

Post a Comment

Bila Gambar Menterjemahkan Keadaan Sebenar Manik Urai

Bila Gambar Menterjemahkan Keadaan Sebenar Manik Urai






 

blogger templates | Make Money Online