Tuesday, July 7, 2009


Degap Degup jantungManek Urai: Pertarungan dua musuh tradisi,Umno dijangka menang Oleh Megatrambai
-
Siapa yang bakal mewakili Dun Manek Urai agaknya? Persoalan ini akan terjawab pada 14 Julai nanti apabila 12,293 pengundi di Dun berkenaan keluar mengundi pada hari berkenaan. Pihak SPR sudah pun memaklumkan bahawa keputusan PRK Dun Manek Urai akan diketahui selewat-lewatnya pada jam 8.30 malam.
-
PRK Dun berkenaan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Ismail Yaacob (Pas) yang meninggal dunia pada 22 Mei lalu. Wakail Pas itu memenangi kawasan terbabit dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) lalu dengan mengalahkan calon Umno dari Barisan Nasional (BN).
-
PRK kali ini akan menyaksikan satu lawan satu di antara Umno (BN) dan Pas. Umno (BN) di wakili oleh Tuan Aziz Tuan Mat dan Pas pula di wakili Fauzi Abdullah. Pertembungan dua musuh tradisi itu bagi merebut kawasan terbabit dilihat oleh kebanyakan pengamat politik sebagai sengit.
-
Ia akan menjadi petunjuk kecenderungan pengundi, khususnya pengundi Melayu terhadap dua parti Melayu terbabit. Jika Pas dapat mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu maka ia menunjukkan rakyat Kelantan, khususnya di Dun Manek Urai masih meyakini perjuangannya walaupun Pas sejak kebelakangan ini berhadapan dengan masalah kepimpinan dalaman dan masalah keretakan hubungan Pas dan DAP.
-
Bagi Umno pula, kejayaan di Manek Urai akan menjadi indicator bahawa parti “keramat” Melayu itu masih diperlukan orang Melayu untuk memperjuang nasib mereka. Kemenangan itu juga akan membuktikan kepemimpinan Umno yang ada pada hari diyakini rakyat. Orang melayu dikatakan sudah beralih arah sejak PRU-12 lalu.
-
Trend pilihan raya di Manek Urai menunjukkan kedua-duanya berpeluang untuk menang di situ. Masing-masing sebenarnya tidak boleh ”over confident” bahawa kerusi tersebut bakal dikuasainya. Apakah itu kubu kuat Pas atau sebaliknya, itu bukan persoalannya. Pengundi Kelantan agak unik. Kejutan mampu dilakukan mereka. Sejarah pilihan raya di Dun itu menunjukkan kedua-dua parti itu saling menguasai kawasan terbabit.
-
Umno pernah menguasainya sebanyak enam kali iaitu pada tahun 1959, 1963, 1967, 1974, 1982 dan 2004. Pas juga sudah menguasainya sebanyak enam kali iaitu pada tahun 1978, 1986, 1990, 1995, 1999 dan 2008.
-
Justeru, walaupun Pas dianggap kuat di situ tetapi melihat kepada silih bergantinya penguasaan kedua-dua parti itu maka tidak mustahil Umno mampu menguasai semula kawasan terbabit.
-
Apa yang diperlukan ialah pastikan jentera Umno-BN bergerak secara padu, mantap, lancar dan berstrategi dengan menggunakan pendekatan mesra rakyat – ”rakyat didahulukan”. Daripada 12,293 pengundi di Dun berkenaan, pengundi Melayu adalah sebanyak 99.25 peratus. Selebihnya Cina 0.44 peratus dan India 0.2 peratus.
-
Jadinya, Umno dan Pas dilihat sebagai parti yang lebih dekat dengan hati nurani pengundi Melayu di situ. Oleh itu, Umno mesti faham bahawa walaupun sokongan dari rakan komponen yang lain diperlukan tetapi dalam pilihan raya di Dun terbabit parti itu adalah teras utama yang akan b/jawab menawan hati pengundi.
-
Dalam PRU 2004 Umno mendapat 4,362 undi dan Pas pula 4,309 undi. Umno menang tipis dengan 53 undi. Dalam PRU 2008, kedua-dua parti terbabit meningkatkan undi masing-masing tetapi peningkatan undi Pas adalah lebih besar iaitu 1,384 undi dari tahun 2004. Sebaliknya Umno hanya bertambah sebanyak 32 undi sahaja. Dalam pilihan raya itu Pas memperolehi 5,746 dan Umno pula memperolehi 4,394 undi.
-
Justeru, Umno perlu bekerja kuat untuk menawan lebih ramai hati pengundi. Pastinya kelompok pengundi muda yang mewakili 45.5 (5,598 orang) menjadi sasaran utama kedua-dua parti berkenaan. Dari laporan rakan-rakan yang terlibat secara langsung di PRK Manek Urai, setakat ini pendekatan berkempen dalam kelompok-kelompok kecil menjadi keutamaan kedua-dua parti.
-
Apa pun, kawasan yang dibuka hampir 80 tahun itu sudah berkembang menjadi sebuah penempatan Melayu yang perlu dibagunkan. Manek Urai membutuhkan pembaharuan dan kemajuan untuk masa depan yang lebih baik. Lonjakan pembangunan di Manek Urai akan amat diperlukan supaya faedah dan manfaat dalam kehidupan penduduk Manek Urai dapat benar-benar dirasai dan dinikmati mereka.
-
Kawasan terbabit bukan memerlukan seorang wakil rakyat ynag bukan setakat boleh membaca doa, membaca khutbah, jadi imam solat jenazah, solat waktu dan hadir kenduri kendara tetapi lebih dari itu, wakil rakyat itu mestilah berkemampuan merancang pembangunan kawasan Dun Manek Urai. Sudah tentu ia memerlukan seorang wakil rakyat yang berpendidikan tinggi. Itulah yang sepatutnya diyakinkan oleh pengundi di Manek Urai. Tidak ada ruginya sekiranya pengundi Manek Urai menguji ’keikhlasan’ Umno dengan memberi kemenangan kepada calonnya.

No comments:

Post a Comment

Bila Gambar Menterjemahkan Keadaan Sebenar Manik Urai

Bila Gambar Menterjemahkan Keadaan Sebenar Manik Urai






 

blogger templates | Make Money Online