Wednesday, September 2, 2009

Sejarah tidak menjadi guru

MELAYU MUDAH LUPA....... (Tun Mahathir)

Oleh ZAINUDDIN MAIDIN

Sebab utama yang menyebabkan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mengambil keputusan untuk menyingkirkan Singapura dari Malaysia ialah ucapan Perdana Menterinya Lee Kuan Yew dalam Parlimen Malaysia pada Mei 1965 mempersoalkan pemerintahan Melayu di Malaysia.

Selepas persidangan itu, Tunku ke London untuk hadir sidang Perdana Menteri Komanwel tetapi terpaksa masuk ke Hospital London kerana menjalani rawatan sakit kayap.

Beliau menulis dalam Looking Back; "The more pain I suffered, the more I directed my growing anger at him pitying Singapore for all its self impose problems. Whichever way my restless mind turned, I could not help but come to one conclusion - and that was to cut Singapore adrift from the rest of Malaysia."

Tunku juga marah dengan ucapan Kuan Yew di Dewan Masyarakat Delta Singapore di mana beliau mencadangkan "Alternative Arrangements" iaitu dengan Singapura, Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang bersatu untuk memutuskan ke arah mewujudkan Malaysian Malaysia.

Kata Kuan Yew; "Singapura tidak pernah bersetuju kepada pemerintahan Melayu apabila ia menyertai Malaysia tetapi apa yang saya setuju ialah pemerintahan rakyat Malaysia (Malaysian). Seseorang mestinya telah membuat kesilapan besar dalam membuat pertimbangan jika dia memikirkan rakyat bersetuju kepada pemerintahan Melayu dalam menyertai Malaysia."

Anggapan Kaun Yew bahawa dia mewakili orang Cina dalam membuat cadangan bagi pihak empat negeri lain telah disanggah oleh Tunku dalam interviu dengan akhbar The London Times.

Tunku menyatakan bahawa Kuan Yew bersengketa dengan Barisan Sosialis Singapura, MCA dan juga Parti Komunis Malaya yang mewakili jumlah orang Cina yang lebih besar.

Saya mengemukakan fakta sejarah ini adalah untuk mengingatkan semua pihak supaya menyedari bahawa dalam merayakan 52 tahun merdeka, kita sekarang berada dalam keadaan yang menyebabkan bapa kemerdekaan telah mencabut duri dalam daging.

Kedudukan istimewa orang Melayu, Agama Islam dan lain-lain soal sensitif yang melanggar prinsip penyelesaian kepada masalah pertikaian kaum yang disemai oleh Kuan Yew sehingga mencetuskan peristiwa 13 Mei telah menjadi perbincangan semula sehingga lembu mencabar orang beragama Hindu dan babi berselimutkan bendera UMNO mencabar orang Melayu.

Profesor Dzulkili Abdul Razak menulis dalam New Sunday Times 30 Ogos mengenai perayaan ke-52 merdeka bahawa peristiwa-peristiwa sejarah yang membawa kepada perayaan tahunan ini mesti dilawati semula.

"They say, history is a great teacher. But unless this is done in earnest, Merdeka tends to have a repetitive dampening effect in which the context is largely lost. It will reduce to a once - time cyclical happening, devoid of any meaning."

Sebenarnya inilah yang dirasakan oleh mereka yang telah menyaksikan sendiri pembinaan sejarah negara ini dari awal apabila keruntuhan fahaman terhadap keperluan menjadikan sejarah sebagai guru telah dilupakan sama sekali dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Jika kemerdekaan 50 tahun telah memberikan fahaman yang lebih mendalam daripada racun yang disemaikan oleh Kaun Yew lebih 40 tahun dahulu maka hal itu tidak akan berlaku.

Pilihan Raya Umum 2008 menyaksikan letupan dan luahan perasaan yang terpendam sekian lama yang tidak pernah mati dan hanya menunggu ketika yang sesuai untuk meledak.

Apabila Musa Hitam bekas Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa kebebasan yang diberikan oleh Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat dielakkan lagi maka beliau telah terlupa bahawa Kuan Yew dapat mengelaknya sekalipun Singapura telah lebih jauh dari Malaysia melangkah ke hadapan dalam globalisasi.

Singapura masih dengan demokrasi Dunia Ketiga walaupun berminda dunia maju tetapi Malaysia masih berminda Dunia Ketiga namun demokrasi dunia termaju.

PENULIS ialah mantan Menteri Penerangan.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Sept. 2009

No comments:

Post a Comment

Bila Gambar Menterjemahkan Keadaan Sebenar Manik Urai

Bila Gambar Menterjemahkan Keadaan Sebenar Manik Urai






 

blogger templates | Make Money Online